Jumaat, 22 Februari 2013

HATI KITA LAPAR





Hati lapar? Bagaimana agaknya keadaan hati yang lapar? Adakah hati itu memulas-mulas seperti perut yang lapar, atau menelan sebanyak mungkin air luar yang singgah di raja kalam?

Jika hati anda lapar, jangan biarkan ia terus kebulur. Kerana seperti badan, apabila dibiarkan kebuluran, sudah tentu akan sakit dan seterusnya mengakibatkan kematian. Oleh itu, carilah makanan untuk hati. Hati yang lapar sebenarnya mempunyai makanan tersendiri, ianya sangat istimewa dan menjimatkan wang ringgit. Tidak perlulah anda mengeluarkan wang beratus atau beribu-ribu ringgit, makanan hati yang istimewa ini ada disebutkan di dalam hadith nabi yang berbunyi:)

Sentiasalah basahi lidahmu dengan menyebut nama Allah

Sebenarnya makanan yang paling diperlukan dan memberi nutrisi yang secukupnya kepada hati ialah Zikrullah, yang bermakna zikir kepada Allah. Zikir bermakna memuji dan mengagungkan Allah.

Namun, masih ramai yang sanggup berlapar dan dahaga kerana mereka sanggup membiarkan sang hati mati kekeringan akibat tidak menjamah makanan ataupun air yang dapat menghilangkan kebuluran. Sungguh mereka lupa dan lalai dengan godaan dunia. Maka bila hati dibiarkan kebuluran, mengecutlah ia menjadi kering dan kusam, seolah-olah badan manusia yang dipaksa berdiet setiap hari.

Bayangkan bila perut anda semua lapar, sudah tentu makanan akan dicari dengan segera. Sehinggakan bila lapar ketika tengah malam pun sanggup untuk keluar mencari McD, KFC dan segala jenis kedai makan yang dibuka 24 jam. Sanggup bersusah payah keluar rumah walaupun ketika itu mata sudah mengantuk dan badan sedang keletihan.

Tetapi mengapa bila hati anda lapar, anda sanggup biarkan hati anda kebuluran? Sedangkan lapar hati juga seperti laparnya perut. Bila bergurindam mulalah nak mencari makanan, tetapi bila lapar hati hanya sesetengah manusia sahaja yang mencari Tuhan. Manakala sebahagian lagi masih enak dibuai kegelapan.

Oleh yang demikian, saya menyeru kepada sahabat-sahabat semua. Jangan biarkan hati kita lapar, kerana bila hati kita lapar tidak mustahil hati kita akan mati kegelapan tanpa sinar hidayah daripada Allah s.w.t.

Maka hendaklah kita sentiasa basahkan bibir kita dengan menyebut kalimah Allah dan memuji Allah s.w.t.

Wallahualam.

Tiada ulasan: